Wednesday 21 November 2012

TUN M PERLI KARPAL SINKI !!!



Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad hari ini mencadangkan agar Pengerusi DAP, Karpal Singh juga dipertimbangkan untuk dilantik menjadi Perdana Menteri jika pakatan pembangkang menang dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) nanti.

Dalam nada sinis beliau berkata, Karpal juga sudah lama berjuang dan mengharapkan jawatan Perdana Menteri sama seperti Ketua Pembangkang, Anwar Ibrahim dan Presiden PAS, Abdul Hadi Awang.

"Bagilah dekat dia (Karpal) sebab dia pun sudah lama berjuang. Patut bagi kepada Karpal jadi Perdana Menteri.

"Yang Amat Berhormat Karpal Singh. Bila pencen nanti dapat gelaran Tun... Tun Karpal," katanya ketika diminta mengulas kecelaruan pembangkang dalam menentukan siapa Perdana Menteri jika menang pilihan raya umum nanti.

Beliau ditemui pemberita selepas melancarkan Tabung Kecemasan Gaza anjuran Yayasan Keamanan Global Perdana (PGPF) di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).

Mengulas lebih lanjut, Dr. Mahathir meminta rakyat menilai sendiri 'perebutan kuasa' yang berlaku dalam pakatan pembangkang seandainya memerintah negara.

''Belum pun menang pakatan pembangkang sudah pun berebut-rebut untuk menjadi Perdana Menteri.

''Bila dah jadi kerajaan esok bukan sahaja Abdul Hadi, bukan sahaja Anwar tetapi Karpal Singh pun nak jadi Perdana Menteri," ujarnya.

Kemelut itu mula timbul apabila akar umbi Pas dalam muktamar tahunannya baru-baru ini mendesak Abdul Hadi dilantik menjadi Perdana Menteri sekiranya pakatan pembangkang menang Pilihan Raya Umum Ke-13.

Bagaimanapun, Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng dengan jelas menolak cadangan yang mahu Abdul Hadi menjadi Perdana Menteri.

Sementara itu, Dr. Mahathir yang juga Presiden PGPF menyifatkan tindakan DAP mempertahankan Anwar adalah kerana mahukan sokongan orang Melayu semata-mata.

''Oleh kerana DAP tidak ada pemimpin Melayu, kalau ada pun dah lari habis, sebab itu mereka nak Anwar kononnya jadi Perdana Menteri.

''Jadi orang Melayu pun rasa lega sebab orang Melayu dapat jadi Perdana Menteri tapi akhirnya jadi macam di Perak dahulu yang terpaksa ikut telunjuk DAP," ujarnya.

Sehubungan itu, tegas beliau, rakyat di negara ini diminta supaya tidak terlalu taksub dengan mana-mana pemimpin kerana sikap tersebut hanya akan merosakkan negara.

"Bila kita hanya menyokong secara membuta tuli tanpa mengambil kira apa yang dilakukan seseorang pemimpin, akan rosaklah negara," katanya.


No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Yang Mana Pilihan Kalbu??