Monday 10 August 2015

@NajibRazak TAK NAK BUDAK "YES MAN" !!!


Mohon jangan ada yang terasa okeh!

Datuk Seri Najib Tun Razak berkata beliau bukan seorang presiden parti yang mahukan semua pemimpin UMNO menjadi 'yes man' kepadanya.


Presiden UMNO itu berkata jika semua pemimpin dalam parti menjadi 'yes man' semata-mata, maka tidak ada pendapat yang berbeza dalam parti.

"Tapi saya seorang presiden yang mahukan parti kita parti yang berdisiplin. Parti yang berpegang kepada prinsip.

"Kita boleh bertukar pendapat, bertengkar pun boleh dalam mesyuarat, kalau nak tumbuk meja pun boleh, cuma jangan baling kerusi sahaja. Tapi bila parti sudah buat keputusan, kita perlu berdiri atas tanggungjawab bersama, collective responsibility," katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap merasmikan persidangan perwakilan UMNO Bahagian Bandar Tun Razak di sini, Sabtu. Turut hadir Setiausaha Agung UMNO Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Wilayah Persekutuan.

Perdana Menteri berkata jika pemimpin dan anggota parti tidak bersetuju dengan sesuatu perkara yang telah diputuskan, ia boleh dirunding kembali.

"Saya bukanlah seorang yang terlalu autokratik. Tanyalah Ku Nan (Tengku Adnan), dia pun kadang-kadang kata dia tidak bersetuju, tapi dia masih kekal sebagai setiausaha agung," kata Najib.

Beliau menegaskan segala serangan yang dilemparkan kepadanya sebagai Presiden UMNO, bertujuan untuk melemahkan parti.

"Kalau nak lemahkan UMNO, serang presiden parti. Sebab itu saya diserang...bukan kerana saya Najib tetapi kerana saya presiden parti. Kenapa semasa saya timbalan presiden, saya tidak diserang?" soalnya.

Beliau berkata sejak penubuhannya, UMNO telah melalui pelbagai cabaran termasuk pemimpin meninggalkan parti dan menubuhkan parti lain seterusnya bertanding melawan UMNO.

Bagaimanapun, Najib berkata kedudukan parti tidak tergugat kerana faktor terbesar UMNO berjaya menghadapi pelbagai ujian ialah kerana anggotanya bersatu.

Beliau berkata antara cabaran utama UMNO ketika ini ialah berdepan dengan penyebaran maklumat melalui media sosial.

"Jangan kita terima segala-gala dalam media sosial kerana ia lebih berbahaya daripada demonstrasi jalanan.

"Demonstrasi jalanan mungkin tak menggugat UMNO tapi kalau racun melalui media sosial dengan jari-jari dalam masa nyata, beratus ribu orang dapat membaca dan masuk dalam kepala mereka. Inilah ancaman baharu kepada kekuatan parti UMNO," katanya.

Beliau juga mahu anggota UMNO menggunakan media sosial untuk membantu membetulkan persepsi yang salah terhadap parti dan kerajaan.

"Bila kita nampak pendapat tak betul, kita masuk dalam (media sosial)...kita bagi pendapat. Kalau kita tak suka pada sesuatu dan kita nampak presiden parti kena serang, kita serang balik," katanya.

Dalam pada itu, Najib menasihatkan anggota Barisan Nasional (BN) supaya sentiasa positif dan tidak berfikir bahawa perikatan itu akan kalah pada pilihan raya umum akan datang berikutan pelbagai masalah dan cabaran yang dihadapi.

"Kalau kita bersatu melaksanakan strategi untuk membetulkan persepsi dan menambah keyakinan rakyat, UMNO dan BN akan berjaya dalam pilihan raya akan datang," katanya. - BERNAMA


No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Yang Mana Pilihan Kalbu??