Friday 18 September 2015

KHIR TOYO BAKAL DISABITKAN SALAH KERANA FAKTA PALSU DIMASUKKAN DALAM PENGHAKIMAN BERTULIS ???


Bekas Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Dr Mohamad Khir Toyo melalui peguam bela, Tan Sri Shafee Abdullah memfailkan permohonan agar diadakan pendengaran semula kes berhubung dakwaan rasuah di Mahkamah Rayuan, Selasa lalu.


Menurut salinan surat tersebut, Shafee turut memohon Mahkamah Persekutuan membenarkan pihaknya membentangkan tambahan hujahan sebelum keputusan kes tersebut diumumkan pada 22 September ini.



Terdahulu kes yang melibatkan Mohamad Khir, 50, telah didengar dihadapan panel lima hakim Mahkamah Persekutuan; Tan Sri Zulkefli Ahmad Makinuddin, Tan Sri Ahmad bin Maarop, Dato Hassan bin Lah, Dato Jeffery Tan Kok Hwa dan Datuk Ramly Haji Ali.

Shafee melalui surat tersebut turut mendakwa berlaku kekhilafan besar dalam penghakiman bertulis di Mahkamah Rayuan sehingga menjejaskan keseluruhan dapatan keputusan Mahkamah tersebut.

Peguam kanan tersebut turut mendakwa, Hakim Mahkamah Rayuan telah membuat kesilapan luar biasa apabila mendakwa Mohamad Khir pernah menjadi pemegang saham salah sebuah syarikat Roniaga Sdn Bhd, milik saksi kedua pendakwa yang juga individu dalam pertuduhan, Shamsuddin Hayroni.

Kemasukan fakta ini dipercayai menjadi penyebab Mahkamah Rayuan mengekalkan keputusan sabitan yang dibuat oleh Mahkamah Tinggi.

SuaraTV turut mendapati, surat tersebut turut dihantar kepada Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Raus Shariff dan Pejabat Peguam Negara turut antara lain menyatakan,

“Kami sukar memahami dari mana Mahkamah Rayuan mendapat kesimpulan bahawa anak guam kami pernah menjadi pemegang saham kepada mana-mana syarikat milik Shamsuddin terutama sekali Roniaga.

“Tidak ada sebarang bukti di bawa dalam perbicaraan menunjukkan fakta sedemikian. Juga tiada sebarang asas untuk membuat dakwaan tersebut kerana ia tidak pernah berlaku” memetik kenyataan di dalam surat tersebut.

Menurut Shafee lagi, kesilapan yang luar biasa ini menyebabkan Mahkamah Rayuan bersifat prejudis kepada Mohamad Khir.

Mohamad Khir sebelum ini  dituduh memperoleh dua lot tanah dan sebuah rumah di No 8 & 10, Jalan Suasa 7/1L untuk dirinya dan isteri, Zahrah Kechik daripada pengarah Ditamas Sdn Bhd Shamsuddin Hayroni, pada harga RM3.5 juta. Ia lebih rendah daripada harga RM6.5 juta yang dibayar oleh Ditamas pada 2004.

Mohamad Khir dalam pembelaannya mendakwa beliau membeli sebuah rumah yang terbengkalai dan mengikut penilaian dari penilai hartanah yang diiktiraf dan pinjaman bank HSBC.

Mahkamah Tinggi menolak pembelaan Mohd Khir dan mendapati beliau bersalah lalu menjatuhkan hukuman 12 bulan penjara dan arahan merampas harta tersebut.

Mahkamah Rayuan mengekalkan sabitan dan menjatuhkan hukuman.

Mahkamah Persekutuan dijangka mengemukakan keputusan akhir rayuan Mohd Khir pada 22 Sepetember ini. – SuaraTV

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Yang Mana Pilihan Kalbu??